Microsoft hari ini melancarkan inisiatif AI for Malaysia’s Future (AIForMYFuture) yang bertujuan melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) menjelang penghujung 2025. AIForMYFuture akan bekerjasama dengan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital yang bakal memacu agenda nasional AI melalui pendekatan bersepadu.
Inisiatif ini menyasarkan pelbagai kumpulan termasuk penjawat awam, industri profesional, pelajar, guru serta komuniti terpinggir dengan peluang pembelajaran yang disesuaikan. Lima strategi utama AIForMYFuture ialah:
- Kerjasama luas untuk membudayakan penggunaan AI dalam semua segmen masyarakat.
- Penggunaan AI dalam industri melibatkan sektor awam dan swasta termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
- Pembangunan bakat melalui pendidikan merangkumi pelajar sekolah, institusi tinggi dan institusi TVET.
- Ekonomi AI yang terangkum dengan fokus pada golongan terpinggir dan usahawan wanita.
- Panduan AI Skills Navigator yang menyediakan langkah-langkah pembelajaran AI untuk semua rakyat Malaysia.
Inisiatif ini turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai organisasi seperti HRD Corp, MyDIGITAL Corporation, TalentCorp dan Biji-Biji Initiative. Microsoft juga memperkenalkan program seperti AI TEACH Malaysia yang melengkapkan pendidik TVET dengan kemahiran AI dan Ready4AI&Security yang menyokong wanita dalam bidang AI serta keselamatan siber.
Dengan usaha ini, Microsoft memperkukuhkan komitmen untuk menjadikan Malaysia peneraju ekonomi AI di rantau ini selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju AI Negara 2021-2025. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

