Site icon TechNave BM

Microsoft Surface Go 3 bakal dilengkapi Intel Pentium Gold & Intel Core i3

Menjelang acara rasmi 22 September nanti, Microsoft bakal melancarkan beberapa peranti Surface termasuk Surface Duo 2. Syarikat ini juga akan memperkenalkan barisan komputer peribadi Surface yang mana salah satunya ialah Surface Go 3. Kebelakangan ini, terdapat banyak khabar angin dan maklumat yang berlegar di internet mengenai Surface Go 3.

Peranti ini telah muncul di dalam laman web Geekbench dan mendedahkan beberapa spesifikasi utamanya. Salah satu sumber memberitahu bahawa peranti ini akan dilengkapi panel skrin FHD 10.5 inci dan masih menggunakan reka bentuk yang sama dengan generasi sebelumnya.

Selain itu, badannya diperbuat daripada aluminium aloi serta mempunyai kaki yang boleh lipat di bahagian belakang. Surface Go 3 akan tersedia dalam dua varian iaitu Intel Gold 6500Y + RAM 4GB dan Intel Core i3-10100Y + RAM 8GB.

Dalam keputusan yang diperoleh melalui Geekbench, Intel Pentium Gold 6500Y menunjukkan prestasi 62% lebih tinggi berbanding Surface Go 2 yang menggunakan Pentium Gold 4425Y. Selain itu, prestasi teras-berganda untuk Surface Go 3 juga meningkat 48% daripada generasi sebelumnya.

Sementara itu, ujian dalam Geekbench juga menunjukkan Intel Core i3-10100Y mempunyai peningkatan prestasi sebanyak 4% dalam teras-tunggal dan 11% peningkatan dalam teras-berganda. Cipset i3-10100Y baharu ini merupakan salah satu daripada siri Amber Lake Y yang mana ia dapat menjimatkan tenaga.

Untuk pengetahuan, peranti ini tidak mempunyai kipas penyejuk pada bahagian dalamnya. Apa-apa pun kami masih belum menerima maklumat rasmi daripada Microsoft mengenai model Surface Go 3 ini dan kita masih ada beberapa minggu sebelum peranti ini dilancarkan. Sama-sama kita nantikan kemunculannya pada 22 September ini.

Ingin tahu lebih lanjut tentang Microsoft Surface Go 3? Ikuti Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Gizmochina

Exit mobile version