Site icon TechNave BM

Microsoft uji ciri baharu Drag Tray, kongsi fail hanya dengan seret dan lepas

Microsoft kini menguji ciri baharu yang dikenali sebagai Drag Tray dalam Windows 11 Insider Preview (binaan 22635.4805) yang mungkin akan menjadikan perkongsian fail pada sistem operasi desktop lebih mudah dan intuitif. Ciri ini membolehkan pengguna mengklik dan menyeret fail ke bahagian atas skrin.

Sebaik sahaja fail berada di kawasan atas, sebuah tray (dulang) akan muncul memaparkan pelbagai pilihan perkongsian yang tersedia. Pengguna kemudian boleh menggerakkan fail tersebut ke atas salah satu pilihan seperti Phone Link untuk memulakan proses perkongsian.

Pendekatan ini menyerupai sistem perkongsian pada peranti Android di mana pengguna hanya perlu memilih fail dan menu pilihan perkongsian akan muncul. Apa yang menarik, ciri Drag Tray ini tidak disebut dalam nota kemas kini rasmi. Oleh itu, masih tidak diketahui sama ada ciri ini akan diperkenalkan dalam versi stabil Windows 11 atau bila ia akan dilancarkan secara rasmi.

Namun, bagi pengguna yang berada dalam program Insider Preview, ciri ini sudah boleh dicuba. Jika diperkenalkan secara rasmi, Drag Tray berpotensi untuk menjadikan perkongsian fail pada Windows 11 lebih mudah setanding dengan pengalaman di peranti mudah alih.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version