Selain siri REDMI Note 15 dan REDMI Buds 8, Xiaomi Malaysia turut memperkenalkan Mijia Smart Audio Glasses iaitu peranti audio boleh pakai terbaharu yang menggabungkan rekaan cermin mata klasik dengan teknologi audio open-ear untuk kegunaan harian yang lebih praktikal. Produk ini dilancarkan sebagai sebahagian daripada peluasan ekosistem Xiaomi di Malaysia.
Mijia Smart Audio Glasses dilengkapi sistem pembesar suara terbina dalam bersama empat mikrofon bagi membolehkan pengguna menikmati audio sambil kekal peka terhadap persekitaran. Teknologi pengurangan bunyi angin sehingga 4.5m/s dan mod privasi baharu membantu memastikan panggilan lebih jelas dengan kebocoran bunyi yang minimum.
Cermin mata ini ditawarkan dalam tiga rekaan iaitu Titanium, Browline dan Pilot-Style. Model Titanium tampil paling ringan dengan berat hanya 27.6 gram manakala Browline dan Titanium hadir dengan perlindungan cahaya biru sehingga 25 peratus. Untuk Pilot-Style pula, ia menggunakan kanta hitam dengan perlindungan UV400 sehingga 99.99 peratus.
Semua model menyokong penukaran kanta preskripsi dan dibina dengan engsel tahan lasak sehingga 15,000 lenturan serta pensijilan kalis habuk dan percikan air IP54. Pengecasan pantas selama 10 minit pula mampu memberikan sekitar empat jam penggunaan manakala cas penuh menawarkan sehingga 13 jam main balik muzik.
Melalui aplikasi Xiaomi Glasses, pengguna boleh menyesuaikan kawalan sentuhan, menggunakan pembantu suara, merakam audio dan menyambung ke dua peranti serentak. Mijia Smart Audio Glasses boleh didapati bermula hari ini di semua kedai Xiaomi dan platform rasmi dalam talian dengan harga promosi bermula RM799.

