Site icon TechNave BM

Minggu Saham Digital dilancar: Belajar ilmu pelaburan melalui pelbagai acara menarik sehingga 24 November

Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini merasmikan Minggu Saham Digital (MSD), sebuah acara dalam talian untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia tentang pelaburan PNB. Pelbagai segmen menarik akan dianjurkan sepanjang MSD yang akan disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube pada jam 12:30 tengah hari hingga 10:30 malam pada 18 hingga 24 November.

MSD telah dirasmikan oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Dr. Zeti Aziz dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn dalam sebuah majlis yang disiarkan secara dalam talian. Turut menjayakan perasmian tersebut adalah Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Pelbagai sesi perbincangan akan diadakan termasuklah Sembang-Sembang ASNB, ASB-Iclif MBA Masterclass Series, Cikgu CEO dan banyak lagi. Ia akan diacarakan oleh pelbagai selebriti seperti Awal Ashaari, Dahlia Shazwan, Fahrin Ahmad, Imam Muda Asyraf, Dato’ Fazley Yaakob, Fizo Imar dan Chef Sherson Lian.

MSD juga akan mengadakan sesi Khidmat Nasihat secara peribadi melalui Google Meet untuk pemegang unit saham PNB dan orang awam bagi memahami pelaburan mereka, di mana setiap konsultasi boleh dibuat selama 30 minit.

Sebuah pertandingan Eh, Mana Kod? juga akan dibuka kepada orang ramai sehingga 30 November di mana peserta boleh menangi pelbagai hadiah menarik termasuklah Ford Ranger, motosikal Yamaha R25, baucar Lazada dan banyak lagi.

Layari laman web MSD untuk maklumat lanjut tentang acara ini serta jadual penganjurannya. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version