Z.ai menerusi model AI terbaharunya, GLM-5.2, dilaporkan berjaya meraih kedudukan pertama dalam carta Design Arena bagi kategori reka bentuk web HTML satu pusingan (single-round, non-agent). Menurut keputusan yang dikongsi, GLM-5.2 mengatasi beberapa model AI lain termasuk Claude Fable 5 serta siri Claude Opus 4.6 dan 4.7 yang melonjak lima anak tangga berbanding generasi sebelumnya.
Model tersebut dilaporkan mencatat skor Elo sekitar 1360 dalam kategori berkaitan kod dan pembangunan web. Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada prestasi itu ialah kebolehan menghasilkan susun atur laman yang lebih kemas, penggunaan tipografi yang baik, animasi yang lebih semula jadi serta integrasi dengan pustaka popular seperti Chart.js dan Three.js.
Menariknya, GLM-5.2 juga dilaporkan banyak bergantung kepada Tailwind CSS dan digunakan dalam sekitar 91% hasil reka bentuk yang dijana berbanding sekitar 57% pada Claude Fable 5. Selain prestasi, faktor kos turut menjadi perhatian. API GLM-5.2 ditawarkan pada kadar sekitar AS$1.40 bagi setiap sejuta token input dan AS$4.40 untuk output, jauh lebih rendah berbanding Claude Fable 5 yang dilaporkan sekitar AS$10 dan AS$50.
GLM-5.2 juga menggunakan pendekatan open-weights dengan lesen MIT serta menyokong konteks sehingga 1 juta token. Perkembangan ini dilihat sebagai satu lagi petanda bahawa syarikat AI dari China semakin agresif dalam segmen pembangunan dan pengekodan terutama untuk penggunaan dunia sebenar dan bukannya sekadar penanda aras tradisional.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Design Arena

