Site icon TechNave BM

MOSTI lancar beca elektronik untuk rancakkan pelancongan di Terengganu

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan beca elektronik (e-Beca) yang dilengkapi aksesori moden bagi merancakkan industri beca di negeri Terengganu, lantas meningkatkan lagi tarikan pelancongan di negeri pantai timur itu.

Timbalan Menteri MOSTI Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata pengenalan beca baharu ini akan memudahkan pengayuh beca yang sudah berusia. e-Beca tidak perlu dikayuh dan dilengkapi paparan skrin LED, sistem audio dan bateri yang dicas menggunakan tenaga suria.

Memandangkan rata-rata pengayuh kini berumur 65 hingga 70 tahun dan sukar mengayuh beca, beliau berkata teknologi ini boleh menyelamatkan industri beca daripada kepupusan. e-Beca ini telah diusahakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTeM) dengan Geran Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) daripada SME Corp, MOSTI dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Untuk tambang pula, setakat ini belum ada ketetapan yang telah dibuat. Sungguh pun begitu, Datuk Amzad berkata ciri-ciri beca seperti tambang berpatutan dan mesra pengunjung harus dikekalkan. Beliau berharap inovasi berkenaan akan diperluas dan mendapat sambutan menggalakkan.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat untuk menunggang e-Beca baharu ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version