Site icon TechNave BM

Motorola Edge (2021) dilancar : Skrin 144Hz, kamera 108MP, berharga ~RM2,966

Walaupun Motorola bukan lagi antara pengeluar telefon pintar terbesar dunia, namun mereka dilihat masih menjaga peminat mereka dengan mengekalkan barisan telefon andalannya. Terbaru, mereka telah melancarkan sebuah peranti andalan Motorola Edge yang hadir dengan pelbagai spesifikasi menarik.

Motorola Edge (2021) hadir dengan cipset Qualcomm Snapdragon 778G bersama RAM 8GB dan storan 256GB. Ia menggunakan skrin 6.8 inci LCD FHD+ yang menyokong kadar segar semula 144Hz. Peranti ini mempunyai bateri 5,000mAh dengan pengecasan pantas TurboPower 30W.

Untuk kamera pula, ia mempunyai tiga kamera belakang dengan kamera utama 108MP f/1.9, lensa ultra lebar 8MP dan sensor kedalaman 2MP. Untuk bahagian depan pula, ia dilengkapi kamera swafoto 32MP yang terletak di lubang punch hole. Peranti ini juga mempunyai tiga mikrofon, ciri kalis air IP52 dan Bluetooth 5.2.

Motorola Edge (2021) ditawarkan dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Nebula Blue (biru) pada harga USD 699.99 (~RM2,966). Seperti telefon lain pada tahun ini, ia hadir dengan perisian Android 11 dari dalam kotak.

Adakah anda peminat jenama Motorola atau pernah menggunakan peranti jenama ini sewaktu kecil dahulu? Berikan komen anda di Facebook kami dan terus kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version