Site icon TechNave BM

Motorola X30 Pro bakal dilengkapi kamera telefoto unik

Motorola bakal melancarkan siri telefon pintar andalan Motorola X30 Pro dan dengan pelancaran yang semakin hampir, syarikat itu mula mendedahkan spesifikasi kamera untuk telefon itu yang agak aneh jika dibandingkan dengan telefon lain.

Kamera dalam Motorola X30 Pro bakal dilengkapi jarak fokal (focal length) 35mm untuk kamera utama, diikuti dengan kamera telefoto dengan jarak fokal 50mm dan 85mm. Selalunya kamera utama dalam telefon mempunyai jarak fokal 25mm, namun jarak fokal 35mm dalam Motorola X30 Pro akan mengecilkan lagi sudut penglihatan kameranya.

Lensa 50mm akan menyediakan zum optikal sebanyak 1.4x, manakala 85mm pula menyediakan zum optikal sebanyak 2.4x. Ini juga bermaksud bahawa Motorola X30 Pro tidak akan mempunyai kamera ultra-lebar.

Sebelum ini, Motorola mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan telefon dengan kamera utama 200MP pada bulan Julai, jadi mereka mungkin merujuk kepada pelancaran Motorola X30 Pro. Telefon ini dijangka akan mempunyai cipset Snapdragon 8+ Gen 1, sensor kamera Samsung ISOCELL HP1, skrin OLED 144Hz 6.67 inci, kamera swafoto 60MP, bateri 4,500mAh dan pengecasan pantas 125W.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo, GSMArena

Exit mobile version