Aplikasi pemesejan popular WhatsApp hari ini mengeluarkan satu kenyataan di mana mereka meletakkan had pada kebolehan satu mesej untuk dimajukan (forwarded) kepada pengguna lain. Mulai hari ini, satu mesej hanya boleh dimajukan kepada satu nombor atau kumpulan (group chat) sahaja pada setiap masa.
Sekarang, jika anda ingin memajukan sebuah mesej, anda tidak lagi boleh memajukannya kepada beberapa nombor serentak dengan menandakan beberapa checkbox di sebelah nama pengguna lain, sebaliknya anda hanya boleh memajukannya kepada satu nombor sahaja pada setiap masa.
Ini adalah bagi membendung penularan maklumat palsu yang semakin parah pada waktu pandemik COVID-19 ini. Walaupun fungsi memajukan mesej amat berguna untuk menyebarkan berita sahih dan video lucu, WhatsApp memutuskan bahawa ia juga menyumbang kepada penyebaran berita palsu yang boleh menjejaskan negara.
Sebelum ini, penyebaran teori konspirasi di United Kingdom telah menyebabkan menara pemancar 5G dibakar. TechNave menggalakkan pembaca untuk membanteras maklumat palsu dan hanya dapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti Kementerian Kesihatan Malaysia. Beritahu pendapat anda tentang kemas kini WhatsApp ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

