Site icon TechNave BM

MWC 2022: Komputer riba realme Book Prime dan fon telinga Buds Air 3 dilancar, bermula ~RM282

Dalam temasya Mobile World Congress (MWC) pada hari ini, realme telah melancarkan beberapa peranti baharu seperti telefon pintar realme GT2, komputer riba realme Book Prime dan fon telinga wayarles realme Buds Air 3.

realme Book Prime

Komputer riba terbaru oleh realme ini mempunyai rekaan yang serupa dengan realme Book pertama pada tahun lepas di mana ia mempunyai rangka aluminium serta skrin Full Vision dengan resolusi 2160×1440 dan nisbah aspek 3:2. Ia akan ditawarkan dalam warna biru, kelabu dan hijau.

Untuk spesifikasi dalaman, komputer ini mempunyai cipset Intel Core i5-11320H, RAM sehingga 16GB, storan SSD PCIe NVMe 512GB dan sistem penyejukan kamar wap (vapour chamber) dengan dwi-kipas.

realme Book Prime akan dijual dalam dua varian iaitu EUR999 (~RM4,700) untuk 8GB+512GB dan EUR1,099 (~RM5,165) untuk 16GB+512GB. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Sebelum ini, realme Book pertama telah dilancar di Malaysia dengan harga bermula RM2,499.

realme Buds Air 3

Fon telinga wayarles realme Buds Air 3 dilengkapi pembatalan hingar aktif (ANC), pemacu bass boost dinamik 10mm, dwi-mikrofon dengan pembatalan hingar dan bateri berkapasiti 546mAh yang boleh bertahan sehingga 30 jam. Ia akan ditawarkan dalam warna putih Galaxy White atau biru Starry Blue.

Fon telinga ini turut menyokong Dolby Audio, tindak balas (latency) rendah 88 milisaat untuk gaming, mod jelas (transparency), pembatalan bunyi angin dan rating kalis air IPX5.

realme Buds Air 3 akan dijual dalam pasaran Eropah pada harga EUR59.99 (~RM282). Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Sebelum ini, realme Buds Air 2 telah mula dijual di Malaysia pada harga RM199.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan dua produk ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: realme

Exit mobile version