Site icon TechNave BM

MWC 2022: OPPO lancarkan teknologi pengecasan pantas SUPERVOOC 240W

Dalam temasya Mobile World Congress (MWC) 2022 pada hari ini, OPPO telah memperkenalkan beberapa teknologi baharu yang sangat menarik seperti teknologi pengecasan pantas 240W SUPERVOOC untuk telefon pintar yang boleh mengecas penuh bateri 4,500mAh sepantas sembilan minit sahaja.

Selain itu, OPPO turut memperkenalkan teknologi pengecasan pantas 150W SUPERVOOC yang boleh mengecas bateri berkapasiti 4,500mAh sebanyak 50% dalam masa 15 minit sahaja. Walau bagaimanapun, OPPO masih belum mengumumkan telefon pintar yang akan dilengkapi kedua-dua teknologi pengecasan pantas ini.

Bagi melindungi hayat keseluruhan bateri, teknologi ini turut menyepadukan OPPO Battery Health Engine yang memastikan bahawa baterinya masih memiliki 80% daripada kapasiti asal walaupun selepas mengalami kitaran cas sebanyak 1,600 kali. OPPO Battery Health Engine telah pun diperkenalkan terlebih dahulu dalam siri OPPO Find X5.

OPPO turut melancarkan sebuah peranti unik iaitu router OPPO 5G CPE T2 yang boleh menukarkan signal 5G kepada rangkaian Wi-Fi atau LAN. Ia dilengkapi modem frekuensi radio Qualcomm Snapdragon X62 dan teknologi antena pintar O-Reserve 2.0 bagi menyediakan signal Wi-Fi yang lebih kukuh.

OPPO 5G CPE T2

Anda boleh layari laman web OPPO untuk maklumat lanjut mengenai teknologi-teknologi baharu ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version