Site icon TechNave BM

MWC 2025: TECNO umum pelbagai gajet, termasuk CAMON 40 Series, AI Glasses, MEGABOOK S14

Dalam acara teknologi antarabangsa Mobile World Congress (MWC) 2025 yang berlangsung di Sepanyol sekarang, TECNO mempamerkan pelbagai gajet konsep yang terdiri daripada pelbagai kategori, termasuklah telefon pintar, cermin mata AI, tablet, komputer riba, jam tangan pintar dan fon telinga.

Telefon pintar

Antara produk yang menarik perhatian adalah siri telefon pintar TECNO CAMON 40 Series iaitu sebuah telefon pintar flagship dengan fungsi pengimejan canggih. Ia mempunyai ciri One-Tap FlashSnap yang membenarkan pengguna mengambil gambar objek yang bergerak pantas dengan lebih tepat dan jelas, serta lain-lain ciri TECNO AI yang memudahkan tugasan harian.

TECNO turut menunjukkan SPARK 30 Series TRANSFORMERS Edition serta telefon lipat PHANTOM V2 Flip 5G dan PHANTOM V2 Fold 5G yang sudah pun dilancar pada 2024.

Beberapa telefon konsep TECNO yang ditunjukkan dalam pameran ini termasuklah SPARK Slim Ultra-thin Concept Smartphone, di mana ia mempunyai rekaan yang nipis namun masih dilengkapi bateri besar 5,000mAh.

Selain itu, TECNO PHANTOM Ultimate 2 pula ditunjukkan sebagai telefon lipat tiga pertama daripada jenama ini. Skrinnya boleh dilipat kepada tiba bahagian dan membenarkan pengguna menonton skrinnya dalam bentuk telefon atau tablet.

TECNO SPARK Slim Ultra-thin Concept Smartphone
TECNO PHANTOM Ultimate 2
TECNO PHANTOM V Fold2 5G Space Expedition Version dengan hiasan Starry Optical Fiber

TECNO turut menunjukkan bahan Starry Optical Fiber yang menggabungkan gentian optikal ultra-halus dan lampu mini-LED ke atas sarung bateri telefon, untuk menghasilkan efek bintang berkilauan. Bahan ini diperkenalkan pada telefon lipat PHANTOM V Fold2 5G Space Expedition Version.

Komputer, cermin mata, fon telinga

Selain itu, TECNO memperkenalkan komputer riba MEGABOOK S14 dan mereka mengatakan ini adalah komputer riba 14 inci dengan skrin OLED 2.8K yang paling nipis dalam dunia. Ia dilengkapi pelbagai fungsi TECNO AI, termasuklah Ella AI Voice Assistant untuk meningkatkan produktiviti dan kreativiti.

Komputer riba lain yang dipamerkan termasuklah MEGABOOK K15S dan MEGABOOK T14 Air. Selain komputer, mereka turut mempamerkan fon telinga True 2 dan jam tangan TECNO Watch GT 1.

MEGABOOK S14
TECNO AI Glasses
Jam tangan, tablet, telefon dan komputer TECNO

Satu gajet unik yang dipaparkan adalah cermin mata pintar TECNO AI Glasses Series yang datang dengan kamera dalaman mirip telefon pintar. Satu varian khas, TECNO AI Glasses
Pro, menampilkan paparan realiti imbuhan (AR) yang inovatif.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan mana-mana peranti di atas dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version