Pada hari ini, syarikat peruncitan popular MYDIN memperkenalkan aplikasi e-dompetnya sendiri iaitu MYDINPay bagi menawarkan pengalaman beli-belah yang mudah untuk para pelanggannya. Ia merupakan e-dompet pertama dalam Malaysia yang dilancarkan oleh sebuah syarikat peruncit dan pemborong.
Sempena pelancarannya, MYDINPay menawarkan baucar RM5 bagi 1,000 pengguna aplikasi yang terawal, manakala 3,000 pelanggan pertama yang berbelanja dengan MYDINPay sebanyak RM150 ke atas di mana-mana cawangan MYDIN akan menerima pulangan tunai sebanyak 5%.
Selain itu, beberapa produk terpilih juga akan dijual pada harga diskaun RM1 sahaja, namun promosi khas ini hanya akan berlangsung pada 25 Jun 2024.
Aplikasi ini dibina dengan kerjasama antara MYDIN dan Wavpay sejak Oktober 2023. Kerjasama tersebut membenarkan rakan kongsi untuk mencipta aplikasi e-dompet mereka sendiri bagi memudahkan transaksi digital dan meningkatkan penglibatan dalam kalangan pengguna, serta menunjukkan komitmen MYDIN untuk mengadaptasi dengan landskap fintech yang semakin berkembang di Malaysia.
MYDINPay kini boleh dimuat turun dari platform Apple App Store atau Google Play Store. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

