Site icon TechNave BM

MyKad baharu bakal tiba dengan 53 ciri keselamatan, siap QR dan cip dipertingkat

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan MyKad generasi baharu Malaysia akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan yang meningkat ketara berbanding hanya 23 ciri pada versi semasa. Kad pengenalan baharu itu dijangka diperkenalkan seawal bulan depan.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias, peningkatan melibatkan pelbagai elemen keselamatan baharu termasuk ukiran laser, ciri ultraviolet, hologram, corak guilloche, microtext dan kod QR untuk kegunaan penguatkuasaan.

MyKad baharu itu juga akan menampilkan cip yang dipertingkat dengan teknologi penyulitan lebih kukuh selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan identiti negara ketika isu penipuan identiti dan jenayah siber semakin meningkat.

Dalam masa sama, JPN mengesahkan bahawa MyKad baharu ini tidak akan mempunyai fungsi Touch ’n Go seperti yang diperkatakan sebelum ini. Selain MyKad, versi baharu MyPoCA dan MyTentera juga dijangka dilancarkan sebagai sebahagian daripada inisiatif memodenkan dokumen pengenalan rasmi negara dengan teknologi anti-pemalsuan yang lebih canggih.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Bernama

Exit mobile version