Nubia secara rasmi melancarkan telefon pintar terbaharunya iaitu Nubia NaviX Ultra dalam pasaran China. Peranti ini dipasarkan sebagai telefon berasaskan ejen AI yang menggunakan asisten Doubao Mobile Assistant daripada ByteDance untuk mengendalikan tugasan pelbagai langkah merentasi aplikasi berbeza melalui arahan suara.
Ciri perkakasan utama peranti ialah butang AI khas berwarna oren yang turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari. Butang ini menyokong pengecaman dialek, pengaktifan suara dan beroperasi di atas model suara full-duplex Seed yang membolehkan pengguna mencelah percakapan sewaktu ia memberikan jawapan.
Menurut Nubia, kadar pengaktifan suara peranti ini 48% lebih tinggi di kawasan bising berbanding pesaing. Daripada segi spesifikasi, NaviX Ultra dilengkapi skrin LTPO 2.0 berukuran 6.78 inci dengan kadar penyegaran 1Hz hingga 144Hz, kecerahan puncak 4,500 nits serta menyokong peredupan DC dan 2160Hz PWM.
Peranti dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan menggunakan sistem penyejukan Galaxy Cooling System dengan ruang wap 7,100mm². Bahagian kamera menampilkan tetapan tiga kamera belakang yang terdiri daripada kamera utama 200MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera periskop telefoto 64MP.
Walaupun mempunyai ketebalan 7.62mm, peranti ini memuatkan bateri berkapasiti 7,100mAh. Ia menyokong teknologi pengecasan pantas 90W secara berwayar dan wayarles 50W. Di China, Nubia NaviX Ultra ditawarkan pada harga 5,999 yuan (~RM3,600) untuk model 12/512GB, 6,499 yuan (~RM3,900) bagi model 16/512GB, dan 7,499 yuan (~RM4,500) untuk varian tertinggi 16/1TB.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

