Site icon TechNave BM

Netflix akan benarkan pengguna untuk kawal kelajuan video yang dimainkan

Perkhidmatan pelayaran filem Netflix akan membenarkan pengguna untuk menonton kandungan videonya dalam peranti Android dengan kelajuan yang lebih laju atau perlahan. Pengguna boleh memperlahankan video sebanyak 0.5x atau 0.75x daripada kelajuan asal dan melajukan video sebanyak 1.25x atau 1.5x daripada kelajuan asal.

Walau bagaimanapun, pengguna tidak boleh menetapkan kelajuan secara automatik apabila sebarang video dimainkan. Pengguna perlu menetapkannya sendiri setiap kali mereka menonton video yang berlainan. Fungsi ini juga boleh digunakan terhadap video yang telah disimpan dalam peranti untuk tontonan luar talian.

Netflix telah pun mencuba fungsi ini sejak 2019, namun ia mendapat sedikit tentangan daripada industri perfileman termasuklah pelakon Aaron Paul dan pengarah Brad Bird kerana langkah ini boleh menjejaskan pengalaman tontonan filem mereka. Pada masa yang sama, persatuan-persatuan orang pekak dan buta di Amerika Syarikat memuji langkah ini kerana video yang lebih perlahan akan memudahkan golongan ini untuk lebih menghayati kandungan video Netflix.

Fungsi ini akan mula diberikan bermula Ogos secara berperingkat mengikut negara. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version