Site icon TechNave BM

Netflix mula mengesan pengguna yang berkongsi akaun Netflix sama, tetapi tidak serumah

Netflix menawarkan pakej penstriman filem sama ada untuk individu atau pakej Premium yang membolehkan empat peranti dalam satu akaun untuk menonton. Biasanya pakej Premium ini ditawarkan untuk sekumpulan individu yang mengenali atau ahli keluarga. Netflix kini dilapor mula mengesan pengguna yang berkongsi kata laluan akaun yang sama, tetapi tidak tinggal serumah.

Menurut seorang pengguna Netflix, syarikat penstriman ini mula menghantar amaran pengesahan akaun jika anda berkongsi akaun dengan seseorang. Paparan menunjukkan Netflix akan meminta kod pengesahan yang akan dihantar sama ada melalui e-mel atau teks kepada pemilik akaun.

Jurucakap Netflix menyatakan bahawa ujian pengesanan ini adalah untuk memastikan pengesahan pemilik sebenar akaun. Jika Netflix mengesan pengguna yang cuba mengguna akaun dan mereka bukan pemilik sebenar akaun, pengesahan pemilik akaun akan dilakukan (seperti dalam gambar).

Perkongsian akaun sebenarnya adalah perkara biasa dalam kalangan pengguna. Netflix mungkin tidak dapat menepis sepenuhnya pengguna yang berkongsi akaun kerana mereka boleh sahaja memberi kod pengesahan kepada rakan walaupun Netflix cuba mengesan melalui cara pengesahan pemilik akaun.

Namun, ia dipercayai boleh mengurangkan aktiviti perkongsian akaun tanpa keizinan pemilik dan sebagai satu langkah keselamatan. Apa pun, kami tidak pasti jika pengguna Malaysia sudah mula mendapat pengesanan dari Netflix ini. Komen pandangan anda mengenai hal ini di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: 1 | 2

Exit mobile version