Site icon TechNave BM

Netflix mungkin akan bangunkan permainan video berdasarkan Squid Game

Siri televisyen Squid Game dalam perkhidmatan pelayaran Netflix merupakan siri yang amat popular di seluruh dunia sejak pengenalannya pada September lalu. Memandangkan reputasinya yang semakin terkenal, Netflix kini sedang mempertimbangkan untuk menerbitkan sebuah permainan video berdasarkan Squid Game.

Menurut seorang eksekutif Netflix Asia, Minyoung Kim, mereka mungkin akan menghasilkan beberapa produk tambahan untuk Squid Game termasuk permainan video. Kim mengatakan mereka telah menerima banyak permintaan untuk menawarkan lebih banyak rangkaian produk yang berdasarkan siri televisyen itu.

Sebelum ini, Netflix pernah menghasilkan permainan ringkas untuk salah satu sirinya iaitu Black Mirror Bandersnatch. Selain itu, Netflix juga telah membeli studio pembina game Night School Studio pada bulan September lalu yang mungkin menunjukkan bahawa mereka sedang merancang untuk meluaskan perkhidmatan mereka ke dalam industri gaming.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan permainan video berdasarkan Squid Game dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PC Gamer

Exit mobile version