NEXAL melancarkan tablet julung kalinya untuk pasaran tempatan menerusi penawaran NEXAL Pad. Peranti disasarkan untuk kegunaan produktiviti dan harian dengan menampilkan rekaan fizikal nipis serta padanan spesifikasi kelas pertengahan.
Peranti ini dilengkapi skrin paparan bersaiz 11 inci dengan resolusi 2.5K (2560 x 1600 piksel), kadar segar semula 90Hz dan kecerahan puncak mencapai 500 nits. Paparan disepadukan dengan mod perlindungan mata Eye Care Reading Mode untuk pemandangan yang lebih selesa.
Daripada segi prestasi, NEXAL Pad dikuasakan oleh cip pemprosesan MediaTek Helio G200 yang dipadankan bersama RAM 6GB dan storan dalaman 256GB. Peranti ini turut disokong oleh perkakasan bateri berkapasiti 10,000mAh bersama sokongan pengecasan pantas 33W, di samping menyokong rangkaian ketersambungan dual WiFi dan LTE.
Bagi kebolehan tugasan pelbagai, tablet ini menyokong fungsi pembahagian skrin serta beberapa alatan produktiviti berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti ringkasan mesyuarat, penukaran suara ke teks, pemetaan minda dan penterjemahan. Ciri fotografi pula menggunakan kamera belakang 13MP dan kamera hadapan 8MP.
NEXAL Earbuds turut diperkenalkan pada harga RM199 dengan ANC, pengurangan hingar tiga mikrofon dan teknologi AI untuk panggilan lebih jelas. NEXAL Watch dan Watch Sport pula masing-masing berharga RM599 dan RM399. Pembeli awal NEXAL Pad boleh menikmati hadiah bernilai RM359, termasuk papan kekunci RM299 dan keahlian alat produktiviti AI selama enam bulan bernilai RM60.
NEXAL Pad ditawarkan pada harga RM1,099 dalam dua pilihan warna iaitu Obsidian Grey dan Aurora Green. Setiap pembelian disertakan bersama pakej pelancaran yang merangkumi papan kekunci bernilai RM299 serta langganan alatan AI secara percuma selama enam bulan bernilai RM60.
Pembelian boleh dibuat menerusi platform dalam talian Shopee, Lazada, TikTok Shop dan pengedar sah terpilih. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

