Industri logistik Malaysia kini beralih daripada penekanan terhadap kepantasan semata-mata kepada kebolehpercayaan dan penyelesaian bersepadu bagi menyokong aliran perniagaan-ke-pengguna (B2C) dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
Ninja Van Malaysia memaklumkan bahawa mereka telah memperluaskan perkhidmatan melangkaui penghantaran dengan merangkumi rantaian sejuk, pengangkutan kargo dan penyelesaian Ninja B2B Restock yang melibatkan Muatan Penuh Lori (FTL) serta Muatan Kurang Daripada Lori (LTL).
Sektor logistik dan pengangkutan Malaysia dianggarkan bernilai RM117.36 bilion dan dijangka meningkat kepada RM153.78 bilion menjelang 2030 didorong oleh pertumbuhan e-dagang, peningkatan penghantar bersaiz sederhana dan perniagaan yang beralih kepada saluran jualan milik sendiri.
Sepanjang 2025, penghantaran Ninja Van menjangkau lebih 20 juta penerima di seluruh negara. Ninja Cold pula menyokong lebih 1,000 perniagaan dan mengendalikan kira-kira 100,000 bungkusan sejuk setiap bulan dengan liputan penuh di Semenanjung Malaysia.
Dalam segmen B2B, Ninja B2B Restock mencatat pertumbuhan dua kali ganda tahun ke tahun dan menyokong lebih 250 perniagaan manakala perkhidmatan LTL menghantar sehingga 3,000 palet. Bagi 2026, Ninja Van Malaysia merancang untuk memperluaskan liputan perkhidmatannya dengan memperkenalkan laluan LTL antara bandar serta penawaran FTL.
Pada masa yang sama, syarikat itu akan memperkukuh perkhidmatan rantaian sejuk dan logistik B2B. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

