Site icon TechNave BM

Nintendo lancar jualan eShop pertama di Malaysia dengan diskaun untuk “game” ekslusif!

Selepas beberapa bulan, Nintendo eShop akhirnya mengadakan jualan digital di Malaysia dengan menawarkan potongan harga bagi tajuk terpilih untuk pemain Nintendo Switch dan Nintendo Switch 2. Kempen telah bermula pada 27 Mei dan akan berlangsung sehingga 9 Jun 2026 dengan tarikh tamat bagi sesetengah permainan mungkin berbeza mengikut promosi.

Antara tarikan utama melibatkan permainan eksklusif Nintendo seperti Super Mario Party Jamboree yang menyaksikan harga bagi edisi Nintendo Switch 2 bersama Jamboree TV turun daripada RM289 kepada RM220.30 manakala versi standard turun daripada RM229 kepada RM160.30. Selain itu, permainan Princess Peach: Showtime! turut menerima potongan harga sebanyak 30 peratus daripada RM229 kepada RM160.30.

Permainan daripada penerbit pihak ketiga juga tidak ketinggalan menerima diskaun besar termasuk DRAGON BALL: Sparking! ZERO yang menerima potongan sebanyak 40 peratus, menurunkan harganya daripada RM249 kepada RM149 untuk kedua-dua platform Switch. Banyak antara tajuk yang terlibat menerima diskaun eShop pertama mereka sejak dilancarkan termasuk versi naik taraf untuk permainan berbilang pemain, perlumbaan dan RPG.

Sepanjang kempen, pemain boleh mendapatkan tajuk seperti Resident Evil Requiem, DRAGON QUEST VII Reimagined, Little Nightmares III dan MARVEL Cosmic Invasion pada harga promosi. Permainan seperti Sonic Racing: CrossWorlds, Hollow Knight: Silksong dan OCTOPATH TRAVELER 0 pula hadir dengan versi khusus untuk Nintendo Switch 2 di dalam senarai promosi ini.

Permainan Human: Fall Flat pula menerima potongan harga sehingga 70 peratus sementara Mega Man 11 dan Onimusha 2: Samurai’s Destiny masing-masing menerima diskaun sehingga 67 peratus dan 50 peratus. Untuk maklumat lanjut, anda melayari laman rasmi Nintendo atau mengakses terus bahagian eShop melalui peranti Switch atau Switch 2 masing-masing.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nintendo

Exit mobile version