Site icon TechNave BM

Nintendo lancarkan laman web khas untuk para peminat di Malaysia

Nintendo merupakan syarikat permainan video yang sangat popular di Malaysia, terutamanya dengan konsol gaming mudah alih Nintendo Switch yang dimiliki ramai orang di sini. Pada hari ini, syarikat Jepun itu telah menerbitkan sebuah laman web yang dikhaskan untuk para peminatnya di Malaysia.

Setakat ini, kandungan yang dipaparkan pada laman web tersebut masih tidak dikhaskan untuk audiens tempatan dan sekadar mengikuti laman web Nintendo Singapura. Di samping itu, tiada maklumat penuh tentang senarai harga game atau konsol Nintendo untuk pasaran Malaysia.

Jika anda klik pada senarai game yang terdapat dalam laman web tersebut, anda akan dibawa ke senarai pengedar sah yang menjual game Nintendo di Malaysia, serta laman Shopee dan Lazada.

Buat masa ini, pengedar sah produk Nintendo adalah MMSoft dan senarai harga produk Nintendo hanya akan dipaparkan dalam Shopee atau Lazada.

Pelawat laman web Nintendo boleh mengetahui berita terkini serta maklumat lanjut tentang game Nintendo

Nintendo Malaysia masih belum menyediakan eShop untuk pelanggan di Malaysia. Buat masa ini, pengguna Nintendo Switch tempatan yang ingin membeli game secara digital perlu melakukannya dalam eShop Amerika Syarikat yang hanya menjual dalam mata wang USD.

Nintendo Asia Tenggara turut menerbitkan laman web khas untuk Filipina pada hari ini, dengan rekaan laman web yang sama. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nintendo

Exit mobile version