Site icon TechNave BM

Nokia 5710 XpressAudio dilancar di Malaysia: Telefon dengan fon telinga wayarlesnya sendiri berharga RM339

Nokia Malaysia telah melancarkan sebuah telefon yang sangat unik dalam pasaran iaitu Nokia 5710 XpressAudio. Ciri yang paling menonjol tentang telefon ini adalah ia turut mempunyai sepasang fon telinga wayarles di dalamnya, jadi anda tidak perlu lagi membeli fon telinga wayarles berasingan untuk mendengar audio.

Di belakang, telefon ini mempunyai ruang yang menempatkan sepasang fon telinga wayarles dan ditutup dengan sebuah pelindung plastik yang boleh digelongsorkan. Memandangkan ia didatangkan dengan fon telinga wayarles, telefon ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm.

Selain daripada fon telinga tersebut, tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai Nokia 5710 XpressAudio kerana rekaan dan spesifikasinya agak ketinggalan zaman. Selain daripada pad nombor fizikal di hadapan, ia mempunyai skrin QVGA berukuran 2.4 inci dengan resolusi 240×320 dan kamera VGA 0.3MP di belakang.

Untuk memori, ia mempunyai kapasiti yang sangat kecil iaitu 128MB sahaja manakala RAM pula sekadar 48MB sahaja. Memandangkan telefon ini mempunyai spesifikasi yang sangat rendah, hayat baterinya boleh dipanjangkan dengan sangat lama iaitu sehingga 20 hari.

Telefon ini mempunyai sistem operasi Nokia S30+ yang bermaksud ia akan didatangkan dengan aplikasi dan game berdasarkan Java, namun anda tidak boleh mengakses aplikasi popular seperti WhatsApp dan perkhidmatan Google. Ia boleh dihubungkan kepada rangkaian 4G dan panggilan VoLTE.

Nokia 5710 XpressAudio akan dijual di Malaysia pada harga RM339. Pastinya telefon ini tidak bertujuan untuk kegunaan harian terutamanya pada 2023, namun jika anda merupakan peminat Nokia yang ingin mengenang kembali kehebatan telefon XpressAudio pada awal 2000-an atau sekadar ingin memiliki telefon unik, ini adalah sebuah peranti yang menarik.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon unik ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version