Nokia dilaporkan sedang merancang untuk kembali ke pasaran telefon pintar selepas beberapa tahun menumpukan kepada peranti asas dan teknologi rangkaian. Menurut laporan terkini, Nokia sedang mencari rakan kongsi pengeluar peranti berskala besar bagi merealisasikan rancangan tersebut.
Spekulasi ini timbul selepas Nokia dikatakan memuat naik panggilan terbuka di subreddit rasmi yang mengajak pengeluar untuk menghubungi mereka melalui laman Nokia Partner. Walaupun hantaran itu telah dipadam, ia telah mencetuskan tanda tanya sama ada Nokia benar-benar sedang bersedia untuk melancarkan semula telefon pintar berjenama sendiri.
Langkah ini dilihat seiring dengan tempoh berakhirnya lesen pengeluaran telefon pintar oleh HMD Global yang dijangka tamat pada tahun 2026. Sepanjang kerjasama bersama HMD, Nokia pernah memperkenalkan beberapa model seperti Nokia G60 dan XR21 yang menonjol dengan ketahanan fizikal namun gagal memberikan impak besar dalam pasaran telefon pintar global.
Dengan kekuatan portfolio paten 5G dan reputasi jenama yang masih kukuh, langkah mencari rakan kongsi baharu ini berpotensi membuka lembaran baharu bagi Nokia. Walau bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi atau maklumat lanjut mengenai pengeluar yang terlibat mahupun jadual pelancaran setakat ini.
Jika rancangan ini diteruskan, Nokia dijangka mengumumkan kerjasama rasmi seawal hujung 2025 atau pada tahun 2026. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Reddit

