Site icon TechNave BM

Nokia mungkin sedang bina telefon dengan lima kamera dan skrin QHD+ 120Hz

Pada 2019, Nokia telah melancarkan Nokia 9 Pureview yang merupakan telefon pertama dalam dunia yang dilengkapi lima kamera di belakang telefon tersebut. Walau bagaimanapun, ia gagal mendapat sambutan kerana markahnya yang rendah dalam penilaian DxOMark.

Kini terdapat laporan mengatakan Nokia sedang membangunkan sebuah sekuel kepada Nokia 8.3 5G yang turut dilengkapi lima kamera di belakang, kali ini dengan sensor 108MP iaitu megapiksel tertinggi dalam telefon setakat ini. Telefon itu juga dikhabarkan akan dilengkapi skrin PureDisplay berukuran 6.5 inci dalam resolusi Quad HD+ dengan kadar segar semula 120Hz.

Nokia Pureview 9

Ia akan dilengkapi cipset Snapdragon 775 (SM7350) yang lebih pantas berbanding Snapdragon 765G. Sementara itu, pengiktirafan TUV juga menunjukkan Nokia sedang membangunkan telefon yang dilengkapi bateri 6,000mAh dan pengecasan pantas 22W, jadi ini mungkin akan terdapat dalam sekuel Nokia 8.3 5G ini.

Namanya mungkin adalah Nokia X50 dan bukannya 8.4 5G, namun ini masih lagi spekulasi yang belum disahkan oleh HMD Global. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nokia Power User

Exit mobile version