Site icon TechNave BM

Nothing Ear (stick) dilancar di Malaysia: Fon telinga wayarles lebih ringan berbanding Ear (1), berharga RM469

Nothing telah melancarkan produk terbaharunya untuk pasaran Malaysia iaitu fon telinga wayarles Nothing Ear (stick). Fon telinga ini masih mempunyai luaran dan fungsi yang serupa dengan Nothing Ear (1) sebelum ini, namun reka bentuknya telah diubah sedikit bagi mengutamakan keselesaan pemakai.

Ear (stick) mempunyai berat 4.4 gram sahaja untuk sebelah fon telinga, lebih ringan daripada 4.7 gram pada Ear (1). Selain itu, Ear (stick) juga tidak mempunyai putik silikon (silicone buds), sebaliknya ia hanya mempunyai bahagian hujung plastik seperti dalam Apple AirPods.

Daripada segi luaran, Ear (stick) masih mempunyai rekaan lutsinar yang sinonim dengan produk Nothing. Fon telinga ini juga mempunyai bekas yang agak unik dengan bentuk silinder yang diinsipirasi daripada sarung gincu.

Untuk spesifikasi audio, ia dilengkapi pemacu 12.6mm untuk menghasilkan audio jelas, namun ia tidak dilengkapi sebarang teknologi pembatalan hingar. Sewaktu membuat panggilan telefon pula, Ear (stick) mempunyai tiga mikrofon pada sebelah fon telinga untuk merakam suara pemakai.

Kawalan sentuh pada Ear (stick) termasuklah main, jeda, langkau, pembantu suara dan kawalan kelantangan. Bateri pada fon telinga ini sahaja boleh bertahan sehingga tujuh jam dan jika ia digabungkan dengan bateri dalam bekasnya, ia menawarkan hayat bateri keseluruhan selama 29 jam. Ia boleh dicas menggunakan port USB-C.

Ia turut mempunyai rating kalis air dan debu IP54 dan sokongan untuk Fast Pair bersama peranti Android terpilih. Jika ia dipautkan dengan Nothing Phone (1), ia menawarkan fungsi khas seperti kawalan gerakan (gesture controls) yang boleh diubah, larasan equaliser dan Find My Earbuds.

Peranti Android dan iOS lain pula perlu memuat turun aplikasi Nothing X untuk mengakses ciri-ciri unik ini.

Nothing Ear (stick) akan dijual di Malaysia pada harga RM469. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nothing

Exit mobile version