Site icon TechNave BM

Nothing Essential Space terima kemaskini baharu, kekal percuma buat masa ini

Nothing telah mengumumkan kemas kini terbaharu untuk Essential Space iaitu ciri AI berasaskan Android yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada ekosistem Phone (3). Ia kini boleh dimuat turun secara automatik melalui Google Play tanpa memerlukan kemaskini sistem OTA.

Kemaskini terbaharu Essential Space memperkenalkan beberapa ciri berguna yang meningkatkan integrasi dan kawalan pengguna. Antaranya ialah sokongan Google Calendar yang membolehkan senarai tugasan yang dibuat dalam Essential Space diselaraskan secara automatik ke kalendar pengguna.

Selain itu, fungsi Editable Memory kini membolehkan pengguna menyemak dan mengubah ringkasan yang dijana oleh AI. Bagi aplikasi Essential Recorder, ringkasan mesyuarat, temubual dan perbualan kini boleh disunting serta dikongsi dalam pelbagai format seperti imej, PDF atau Markdown menjadikannya lebih fleksibel untuk dokumentasi dan kolaborasi.

Selain itu, kemaskini turut membawa pembaikan pepijat dan pengoptimuman tambahan mengikut versi peranti seperti Phone (3a) dan Phone (3a) Pro. Sebelum ini, pengguna menemui kod dalam fail APK yang menyatakan kemungkinan kewujudan langganan berbayar tahunan sekitar USD120.

Mereka menegaskan bahawa Essential Space kekal percuma buat masa ini walaupun tidak menolak kemungkinan memperkenalkan versi premium pada masa hadapan apabila ciri-ciri tambahan yang benar-benar memberi nilai ditawarkan. Namun, Nothing menafikan perkara tersebut dan menyatakan bahawa ia hanyalah sisa kod lama yang tidak aktif.

Carl Pei, pengasas Nothing, turut mengesahkan bahawa Essential Space masih berada dalam fasa awal pembangunan yang dianggarkan hanya 10% siap dan akan terus diperhalusi dari semasa ke semasa. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nothing Community

Exit mobile version