Selain Nothing Phone (3), Nothing turut melancarkan fon kepalanya yang pertama iaitu Nothing Headphone (1). Ia merupakan sebuah fon kepala wayarles premium dan dibina dengan kolaborasi syarikat audio terkemuka dari United Kingdom, KEF.
Fon kepala ini dilengkapi pemacu dinamik 40mm dan diafragma yang disalut nikel bagi menghasilkan kualiti audio yang jelas. Ia turut mempunyai pembatalan hingar aktif (ANC) yang boleh membatalkan audio sekeliling, serta Transparency Mode bagi memudahkan anda mendengar audio dari luar sewaktu berbual atau pengumuman penting.
Untuk pengalaman audio yang lebih menyeluruh, ia mempunyai spatialiser untuk menukarkan audio stereo kepada efek tiga dimensi, serta penjejakan kepala (head tracking) 360˚ yang akan mengekalkan kedudukan audio walaupun anda menggerakkan kepala.
Tidak seperti kebanyakan fon kepala yang menggunakan sensor sentuh untuk mengawal fungsi, Headphone (1) mempunyai tiga butang fizikal dengan Roller yang boleh diputarkan serta Paddle dan Button yang boleh ditekan. Anda hanya perlu putar untuk laraskan volume, atau guna butang untuk aktifkan ANC atau Transparency Mode.
Bagi memastikan pemakaian yang selesa, ia mempunyai kusyen PU yang lembut dan kalis minyak. Kusyen ini akan dilentur mengikut bentuk kepala anda dan menyediakan pemakaian yang selesa walaupun dalam tempoh yang lama.
Sewaktu membuat panggilan telefon, ia mempunyai empat mikrofon dengan Clear Voice Technology bagi merakam suara anda dengan jelas, walaupun dalam tempat yang bising.
Baterinya pula boleh bertahan sehingga 35 jam jika ANC diaktifkan, atau sehingga 80 jam jika ANC dimatikan. Pengecasan selama lima minit sahaja sudah cukup untuk penggunaan selama 2.4 jam, dengan ANC diaktifkan.
Semua tetapannya boleh dilaraskan dengan aplikasi Nothing X. Ia juga boleh dihubungkan kepada dua peranti serentak, seperti telefon pintar dan komputer riba.
Nothing Headphone (1) akan dijual untuk pasaran antarabangsa pada harga bermula USD299 (~RM1,260). Setakat ini masih tiada maklumat mengenai harganya untuk pasaran Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

