Site icon TechNave BM

Nothing Headphone (1) Pro diumum: Tiga pemandu audio, binaan premium dan bateri tahan 68 jam

Nothing melancarkan fon telinga mercu over-ear terbaharu mereka, Nothing Headphone (1) Pro. Model baharu ini membawakan peningkatan daripada segi sistem audio, keupayaan pembatalan hingar aktif (ANC) serta penggunaan bahan binaan premium seperti kaca dan titanium.

Ia menggunakan konfigurasi tiga pemandu audio yang terdiri daripada pemandu dinamik 40mm untuk bass, pemandu dinamik berpresisi dan pemandu xMEMS dengan diafragma silikon bagi frekuensi tinggi. Peranti turut menyokong penarafan Hi-Res Audio dan penawaran Audio Ruang Dinamik dengan fungsi penjejakan kepala yang menyediakan pelbagai mod bunyi seperti Standard, Live House, Club, Concert Hall serta mod khas berasaskan Studio B oleh Metropolis Studios.

Ciri pembatalan hingar aktif pada peranti ini dikuasakan oleh gabungan 10 mikrofon yang menurut Nothing mampu meredam bunyi persekitaran sehingga 46dB. Daripada segi reka bentuk, ia mengekalkan bahasa rekaan sedia ada tetapi ditambahi penutup kaca kalis calar di bahagian luar, bingkai aluminium serta struktur titanium yang ringan.

Keselesaan pemakaian ditambah baik menerusi pad telinga yang lebih tebal dan ikatan kepala yang 10% lebih lebar berbanding model Headphone (1) terdahulu. Peranti seberat 327 gram ini turut menerima penarafan rintangan percikan air dan debu IP52, kawalan suis fizikal, butang penukaran Flat EQ serta sokongan kod audio AAC, SBC, LDAC dan LC3.

Sambungan peranti dikuasakan oleh Bluetooth 6.1 yang menyokong Google Fast Pair, Microsoft Swift Pair, sambungan dua peranti serentak, mod kependaman rendah dan pengesan pemakaian automatik. Bateri berkapasiti 1,060mAh yang dimuatkan didakwa mampu bertahan sehingga 30 jam dengan ANC diaktifkan atau sehingga 68 jam tanpa ANC berserta sokongan pengecasan pantas melalui USB-C.

Nothing Headphone (1) Pro hadir dalam pilihan warna Hitam dan Putih serta didatangkan bersama beg simpanan berpad. Maklumat mengenai harga jualan dan tarikh ketersediaan mengikut pasaran belum diumumkan secara rasmi oleh pihak Nothing.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version