Site icon TechNave BM

Nothing Headphone (1) turut rasmi di Malaysia: Ditala KEF, audio spatial dan hayat sehingga 80 jam berharga RM1,099

Nothing kini melancarkan produk audio terbaharu, Nothing Headphone (1), secara rasmi di pasaran Malaysia dengan harga RM1,099. Ini menandakan kemunculan pertama fon kepala jenis over-ear daripada Nothing yang dikenali dengan rekaan telus dan estetik unik. Fon kepala ini menampilkan rekaan retro moden dengan pilihan warna hitam atau putih. Ia tidak menggunakan kawalan sesentuh seperti fon kepala moden lain, sebaliknya hadir dengan butang fizikal sepenuhnya.

Antara kawalan yang disediakan termasuk penggelek kelantangan (volume roller), suis paddle untuk menukar lagu atau menjawab panggilan serta butang aksi boleh suai yang membolehkan pengguna mengaktifkan pembantu suara seperti ChatGPT atau bertukar aplikasi menggunakan fungsi Channel Hop.

Dengan berat 329 gram, Nothing Headphone (1) dibina menggunakan gabungan aluminium, polikarbonat dan kusyen buih memori untuk keselesaan jangka panjang. Cawan telinga lut sinar dan lengan berbentuk segi empat menjadikan rekaan ini menonjol berbanding pesaing. Semua kawalan boleh dirasai secara fizikal dengan roller untuk pelarasan bunyi, tekan untuk mod ANC dan mod telus serta kawalan main/jeda.

Paddle pula digunakan untuk langkau trek atau menjawab panggilan. Daripada segi audio, ia dikuasakan oleh pemacu dinamik 40mm yang ditala bersama pakar audio KEF. Sokongan codec merangkumi LDAC, AAC dan SBC dengan sambungan tanpa wayar melalui Bluetooth 5.3. Pengguna turut boleh menyambung secara berwayar menggunakan kabel USB-C (untuk audio lossless) atau bicu audio 3.5mm.

Fon kepala ini dilengkapi sistem pembatalan hingar hibrid (hybrid ANC) yang boleh menyesuaikan pembatalan bunyi mengikut persekitaran. Untuk situasi yang memerlukan perhatian kepada persekitaran, terdapat mod telus tanpa perlu menanggalkan fon kepala. Ciri audio spatial dengan penjejakan pergerakan kepala pula memberi pengalaman lebih imersif ketika menonton filem atau mendengar muzik.

Salah satu tarikan utama Nothing Headphone (1) ialah hayat baterinya. Dengan ANC dimatikan, pengguna boleh menikmati sehingga 80 jam penggunaan manakala dengan ANC diaktifkan, ia mampu bertahan sekitar 35 jam. Lebih mengagumkan, pengecasan pantas selama 5 minit sahaja sudah mencukupi untuk 2.4 jam penggunaan dengan ANC aktif.

Spesifikasi Nothing Headphone (1)

Adakah pengguna Malaysia bersedia menerima rekaan lut sinar dan kawalan retro ini? Pada harga RM1,099, ia mungkin jadi pesaing utama dalam segmen fon kepala premium gaya hidup. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Headphone (1) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version