Site icon TechNave BM

Nothing lancarkan fon telinga wayarles pertama Ear (1) berharga ~RM420

Syarikat teknologi Nothing yang dibina oleh pengasas OnePlus, Carl Pei, telah melancarkan produk pertama mereka iaitu fon telinga wayarles Ear (1). Ia akan mula dijual bermula 31 Julai 2021 pada harga USD99 (~RM420) di 45 negara, namun Malaysia tidak termasuk dalam senarai tersebut.

Antara daya penarik fon telinga ini adalah badannya yang dibuat dengan plastik lutsinar yang menampakkan litar elektrik dalamannya dan kedua-duanya ditandakan dengan warna putih atau merah untuk menandakan belah kanan atau kiri. Ia dilengkapi pemacu 11.6mm yang telah ditala oleh Teenage Engineering, sebuah syarikat elektronik dari Sweden.

Baterinya boleh bertahan sehingga 34 jam apabila digabungkan dengan bekas pengecasan, manakala fon telinga itu sendiri boleh bertahan sehingga 5.7 jam jika pembatalan hingar aktif (ANC) dimatikan. Jika pemakai mengaktifkan ANC, hayat baterinya dipendekkan kepada 24 jam (bersama bekas pengecasan) dan empat jam sahaja (fon telinga). Ia boleh dicas secara wayarles dengan pengecas Qi.

Fon telinga ini menyokong kawalan sentuh (gesture controls), pelarasan equaliser dengan aplikasi khas, hubungan Bluetooth 5.2, rating kalis air IPX4 serta teknologi ANC untuk pendengaran audio dan rakaman suara pemakai sewaktu membuat panggilan.

Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Nothing

Exit mobile version