Site icon TechNave BM

Nothing Phone (2) akan dilancar pada akhir 2023

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nothing, Carl Pei, mengesahkan bahawa syarikat itu akan melancarkan telefon pintar kedua yang bernama Nothing Phone (2) pada akhir tahun ini di Amerika Syarikat (AS).

Beliau menyifatkan telefon itu sebagai lebih premium dan mereka akan memfokuskan usaha terhadap pembangunan perisian Nothing OS di dalamnya. Selain itu, Nothing juga akan mengutamakan pasaran AS dalam menjual telefon telefon tersebut.

Sungguh pun begitu, Carl tidak menghuraikan rekaan serta spesifikasi Nothing Phone (2) dengan lebih lanjut. Beliau juga enggan menyifatkan telefon itu sebagai andalan (flagship).

Memandangkan sebelum ini Nothing perlu menumpukan pada pembinaan pasukannya, kini syarikat itu boleh fokus pada pembangunan produk pula kerana pasukannya telah siap disusun dan mencecah 400 orang. Mereka juga boleh berunding dengan syarikat telekomunikasi AS untuk menghasilkan telefon yang sesuai dengan negara itu.

Carl turut melaporkan bahawa Nothing mencatatkan pendapatan yang sangat tinggi pada 2022, di mana mereka meraih jualan sebanyak USD200 juta. Ini adalah lebih 10 kali ganda daripada jualan pada 2021 iaitu sebanyak USD24 juta sahaja.

Ini mungkin kerana Nothing tidak melancarkan banyak produk pada 2021. Pada tahun tersebut, Nothing hanya menjual fon telinga wayarles Nothing Ear (1) sahaja. Pada tahun 2022, Nothing merancakkan tawaran produknya dengan telefon pintar Nothing Phone (1) dan fon telinga wayarles Nothing Ear (Stick).

Selain itu, beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan beberapa syarikat teknologi yang melancarkan telefon baharu setiap dua bulan. Beliau ingin Nothing mengikut jadual produk pelancaran produk yang lebih terkawal.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Phone (2) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Inverse

Exit mobile version