Site icon TechNave BM

Nothing Phone (2a) Plus Community Edition dilancar, hanya 25 unit sahaja akan dijual di Malaysia

Selepas Nothing melancarkan telefon pintar kelas pertengahan Nothing Phone (2a) Plus pada bulan September lalu, kini syarikat teknologi dari United Kingdom itu melancarkan varian baharu yang direka oleh para pengguna Nothing yang terpilih, digelar Nothing Phone (2a) Plus Community Edition.

Telefon ini mempunyai fungsi dan spesifikasi yang sama dengan Phone (2a) Plus asal, namun dengan rekaan luaran dan estetika yang direka khas oleh komuniti pengguna Nothing. Untuk menghasilkan telefon edisi khas ini, syarikat itu menerima lebih 900 cadangan rekaan dari 47 negara dan akhirnya syarikat itu memilih rekaan yang mempunyai ciri menyala dalam gelap (glow-in-the-dark).

Selain itu, telefon ini mempunyai enam latar belakang (wallpaper) khas serta pembungkusan baharu yang menunjukkan corak khas pada telefon ini, seperti lampu hijau yang akan menyala dalam suasana malap.

Nothing akan menghasilkan 1,000 unit sahaja untuk Phone (2a) dan Phone (2a) Plus Community Edition. Untuk pasaran Malaysia, hanya 25 unit sahaja akan dijual, dan ia boleh didapati di laman web Crossover pada 16 November 2024 dengan harga jualan RM1,999.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan membeli peranti edisi khas ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version