Dalam masa sekitar satu bulan sejak pelancaran global, Nothing Malaysia akhirnya mengesahkan bahawa Nothing Phone (2a) Plus akan dilancar untuk pasaran tempatan dalam masa terdekat. Pengumuman tersebut dibuat dalam laman web rasminya dengan sebuah poster acahan ringkas.
Jika anda tidak kenal dengan telefon ini, Phone (2a) Plus merupakan telefon kelas pertengahan yang serupa dengan Phone (2a) namun dengan beberapa peningkatan kecil. Ini termasuklah cipset baharu MediaTek Dimensity 7350 yang digunakan buat kali pertama dalam Phone (2a) Plus.
Spesifikasi lain adalah sama dengan Phone (2a) asal. Skrinnya berukuran 6.7 inci dengan panel AMOLED, resolusi Full HD+ dan menempatkan kamera swafoto 50MP. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada bateri 5,000mAh yang menyokong kadar pengecasan pantas 50W, RAM 12GB dan storan dalaman 256GB. Perlu diingati bahawa hanya varian memori 12GB+256GB akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera ultra-lebar 50MP. Sistem operasinya menggunakan Android 14 dengan antara muka Nothing OS 2.6 yang menyepadukan teknologi AI ChatGPT. Antara fungsi baharu termasuklah News Reporter Widget dan 15 pencahayaan Glyph Interface tambahan.
Mereka yang berminat dengan telefon ini boleh berdaftar dengan Nothing Malaysia melalui pautan ini, namun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan buat masa ini.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing (2a) Plus dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

