Site icon TechNave BM

Nothing Phone (3) dilancar di Malaysia: SD 8s Gen 4, kamera 50MP dan paparan Glyph Matrix bermula RM3,299

Selepas pelancaran global minggu lalu, Nothing kini secara rasmi melancarkan Nothing Phone (3) untuk pasaran Malaysia. Model terbaharu ini menandakan anjakan besar dalam pendekatan reka bentuk dan prestasi berbanding siri sebelumnya. Antara perubahan paling ketara pada Nothing Phone (3) ialah penggantian sistem Glyph LED kepada Glyph Matrix iaitu paparan LED bulat yang terdiri daripada 489 LED mikro monokrom.

Paparan ini boleh dikonfigurasi untuk memaparkan pelbagai maklumat seperti ID pemanggil, foto profil tersuai dan beberapa ciri interaktif seperti permainan mini Glyph Toys. Panel belakangnya yang masih mengekalkan elemen lutsinar kini lebih padat dan simetri. Nothing Phone (3) dikuasakan oleh cipset Snapdragon 8s Gen 4 dengan pilihan antara dua konfigurasi iaitu storan 12/256GB dan storan 16/512GB.

Telefon ini turut menampilkan paparan AMOLED fleksibel 6.67 inci dengan resolusi 1260×2800 piksel, sokongan HDR10+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 1600 nits. Nothing Phone (3) hadir dengan empat kamera 50MP termasuk tiga di bahagian belakang (utama + ultra lebar + periskop) dan satu kamera swafoto 50MP di hadapan.

Kamera periskop tersebut menyokong zum optikal 3x dan zum digital sehingga 60x yang memberi satu peningkatan besar yang tidak ditawarkan pada generasi sebelum ini. Baterinya berkapasiti 5,150mAh menyokong pengecasan pantas berwayar 65W, pengecasan wayarles 15W dan pengecasan berbalik.

Nothing Phone (3) menjalankan Nothing OS 3.5 berasaskan Android 15 dan menjanjikan kemas kini sistem operasi selama 5 tahun serta kemas kini keselamatan selama 7 tahun. Ia ditawarkan pada harga RM3,299 untuk storan 12/256GB dan RM3,799 untuk storan 16/512GB. Nothing Phone (3) kini boleh didapati secara rasmi di Malaysia bermula 11 Julai 2025 melalui saluran jualan terpilih serta laman rasmi Nothing Malaysia.

Spesifikasi lengkap Nothing Phone (3):

Pengguna boleh membuat pembelian bermula hari ini dengan stok tersedia dalam pilihan warna hitam dan putih. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Nothing Phone (3) dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version