Nothing mengesahkan bakal melancarkan telefon pintar Phone (4a) pada 5 Mac ini menerusi acara penstriman langsung dari London. Ia merupakan model pertama jenama tersebut yang ditawarkan dalam pilihan warna merah jambu selain putih, biru dan hitam.
Warna tersebut dihasilkan menggunakan lapisan lutsinar berwarna bagi memberikan kesan kedalaman pada panel belakang manakala rekaannya turut menampilkan bingkai merah jambu bersama butang sisi dan plat kamera berwarna perak. Bonggol kamera Phone (4a) kini lebih nipis berbanding model terdahulu hasil penggunaan lensa telefoto jenis tetra prism.
Bahagian belakang dilengkapi sistem lampu Glyph Bar baharu dengan enam unit LED putih yang disusun secara menegak. Lampu ini berfungsi untuk paparan notifikasi, status kemajuan serta pemasa kamera dan menyokong ciri kemas kini langsung Android 16. Satu unit LED merah khas turut disediakan bagi menandakan aktiviti rakaman video sedang berlangsung.
Maklumat tertiris menunjukkan Phone (4a) mungkin menggunakan skrin AMOLED 6.78 inci dengan kadar segar semula 120Hz. Peranti ini dijangka dikuasakan cip Snapdragon 7s Gen 4 serta pilihan RAM 8GB atau 12GB dan storan 256GB. Spesifikasi lain merangkumi kamera utama 50MP, kamera swafoto 32MP dan sistem operasi Nothing OS 4.
Butiran lengkap mengenai harga akan diumumkan secara rasmi pada hari pelancaran. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: X|YouTube Nothing

