Nothing secara rasmi memperkenalkan model telefon pintar terbaharu dalam siri 4b iaitu Nothing Phone (4b). Ia direka sebagai pilihan yang lebih mampu milik berbanding siri Phone (4a) namun tetap mengekalkan elemen rekaan lut sinar yang menjadi identiti jenama tersebut.
Peranti menggunakan skrin Super AMOLED bersaiz 6.77 inci dengan resolusi 1080 x 2344 piksel dan kadar segar semula adaptif 120Hz. Skrinnya mampu mencapai kecerahan puncak sehingga 2,000 nits dan dilindungi oleh kaca Dragontail Pro. Ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 6 Gen 4 yang digandingkan dengan memori LPDDR4X 8GB dan pilihan storan UFS 2.2 sehingga 256GB.
Sistem pengimejan peranti pula terdiri daripada kamera utama 50MP yang dilengkapi penstabilan imej optikal (OIS) dan elektronik (EIS) serta kamera ultra lebar 8MP dengan medan pandangan 119.5 darjah manakala kamera swafoto menggunakan sensor 16MP. Selain itu, peranti menjalankan sistem operasi Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16 dengan tiga kemas kini peningkatan sistem operasi Android dan enam tahun kemas kini keselamatan.
Baterinya pula berkapasiti 5,200mAh yang menyokong pengecasan berwayar 33W dan pengecasan berwayar berbalik 7.5W. Ciri tambahan lain termasuk sokongan Bluetooth 6.0, Wi-Fi 6, pengimbas cap jari optikal dalam skrin serta pensijilan kalis air dan debu IP64.
Adakah Nothing Phone siri-b baharu ini cukup bagus untuk segmen pertengahan? Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

