Site icon TechNave BM

Nothing sindir Apple, dakwa mahu tarik pengguna iPhone yang bosan

Nothing sekali lagi mencuri perhatian menerusi pendekatan pemasaran yang agak berani apabila pengasas dan CEO syarikat, Carl Pei, memuat naik satu video di Instagram yang menyasarkan Apple secara terbuka. Dalam video tersebut, Carl Pei menyampaikan mesej bahawa Nothing mahu “mencuri pelanggan Apple” dengan menyasarkan “pengguna iPhone yang sudah bosan”, seorang demi seorang.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman produk baharu atau data sokongan dikongsikan bersama kenyataan tersebut. Video itu dilihat lebih kepada kempen pemasaran untuk mencetuskan perbualan dan menarik perhatian pengguna terhadap jenama Nothing. Strategi sebegini bukan sesuatu yang baharu dalam industri teknologi.

Syarikat yang lebih kecil kadangkala menggunakan nama pesaing yang jauh lebih besar bagi mewujudkan persepsi bahawa kedua-duanya sedang bersaing secara terus dalam kategori yang sama. Mesej Nothing kali ini jelas cuba memposisikan jenamanya sebagai alternatif kepada iPhone khususnya untuk pengguna yang mahukan pengalaman berbeza daripada ekosistem Apple.

Namun, sejauh mana strategi ini benar-benar berjaya menarik pengguna iPhone masih belum diketahui. Tiada angka atau statistik dikongsikan setakat ini mengenai jumlah pengguna Apple yang telah beralih kepada peranti Nothing. Adakah pengguna iPhone benar-benar mula mencari alternatif seperti Nothing atau ini sekadar gimik pemasaran?

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version