Site icon TechNave BM

nubia Flip 5G dilancar sebagai telefon lipat pertama oleh nubia, bermula ~RM2,860

Satu lagi syarikat teknologi nampaknya mula mengorak langkah ke dalam industri telefon pintar lipat. Sewaktu acara Mobile World Congress (MWC) 2024, nubia telah melancarkan telefon lipatnya yang pertama iaitu nubia Flip 5G yang menampilkan rekaan telefon lipat gaya cengkerang (clamshell).

nubia Flip 5G dilengkapi skrin utama berukuran 6.9 inci dengan panel OLED, resolusi 1188×2790 dan kadar segar semula 120Hz. Di belakang telefon, ia mempunyai skrin luaran berbentuk bulat yang berukuran 1.43 inci dengan resolusi 466×466. Ia boleh digunakan sebagai viewfinder sewaktu mengambil swafoto dengan kamera utama serta menjawab panggilan, memainkan lagu/video, menunjukkan cuaca dan lain-lain tugas ringkas.

nubia mengatakan engsel Flip 5G ini boleh bertahan sebanyak lebih 200,000 lipatan, iaitu standard industri untuk telefon lipat pada waktu ini. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 7 Gen 1, bateri berkapasiti 4,310mAh dan pengecasan pantas 33W.

Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP dan sensor kedalaman 2MP, manakala kamera swafoto pula adalah kamera 16MP. Secara keseluruhannya, ia mempunyai rekaan yang sama dengan ZTE Libero Flip yang telah dilancar di Jepun pada minggu lepas.

nubia Flip 5G akan dijual pada harga USD599 (~RM2,860) namun setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya untuk pasaran Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version