Site icon TechNave BM

nubia V80 Design dilancar di Malaysia: Skrin 120Hz, kamera 50MP, fungsi AI berharga RM569

nubia Malaysia baru-baru ini melancarkan telefon pintar mampu milik nubia V80 Design yang dijual pada harga RM569 sahaja. Walaupun dengan harga sedemikian, ia masih dilengkapi spesifikasi canggih seperti skrin dengan kadar segar semula 120Hz, pelbagai fungsi kecerdasan buatan (AI), kamera 50MP dan bateri besar.

Ia mempunyai skrin berukuran 6.75 inci dengan resolusi 1940×900, ketumpatan piksel 317 ppi, kecerahan puncak 1,000 nits dan kadar segar semula 120Hz untuk animasi yang lancar sewaktu menatal skrin.

Rekaannya mempunyai ketebalan 7.7mm (lebih nipis sebanyak 6.1% berbanding generasi sebelumnya) dan berat 191 gram (lebih ringan sebanyak 7.3% berbanding generasi sebelumnya). Ia ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam Midnight Black dan kuning Pale Amber, serta mempunyai rating kalis air dan debu IP64.

Di bahagian sisi, ia mempunyai butang khas One-Tap AI Button bagi menyediakan akses pantas kepada fungsi-fungsi pilihan seperti kamera, lampu suluh, perakam suara, AI Memory dan banyak lagi.

Ia mempunyai fungsi AI Memory yang menyediakan storan peribadi dan khusus untuk data sensitif. Beberapa fungsi AI lain yang ditawarkan termasuklah AI Scam Alert, AI Writing & Smart Reply dan AI Real-Time Translation.

Untuk gambar, ia mempunyai kamera utama 50MP dan kamera hadapan 16MP. Ia menyokong beberapa fungsi utama seperti Magic Eraser, Magic Editor, Portrait Light, Magic Unblur, Dynamic Image Mode, LivePhoto Sharing dan Multi-Camera Simultaneous Recording.

Untuk prestasi, ia menggunakan cipset Unisoc T7280 2.2GHz yang menawarkan peningkatan prestasi sebanyak 32.4% berbanding generasi sebelumnya. Ia turut mempunyai bateri 5,000mAh yang boleh bertahan selama sehari.

Ia mempunyai RAM 8GB yang boleh dibesarkan secara maya sehingga 20GB, manakala storan dalamannya berkapsiti 256GB.

Bateri tersebut menyokong Bypass Charging supaya tenaga elektrik terus dihalakan ke cipset untuk melindungi bateri dan mengurangkan penjanaan haba. Ia turut mempunyai pengecasan berbalik 10W.

nubia V80 Design akan dijual di Malaysia pada harga RM569 untuk varian 8GB+256GB. Ia boleh didapati di Shopee, Lazada atau laman web rasmi ZTE nubia Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version