Site icon TechNave BM

nubia Z60 Ultra akan dilancar pada 19 Disember 2023

nubia telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan telefon pintar andalan (flagship) nubia Z60 Ultra untuk pasaran antarabangsa pada hari Selasa, 19 Disember 2023 jam 7:00 pagi EST (8:00 malam waktu Malaysia). Menariknya, ia akan dilancar pada hari yang sama dengan pelancaran untuk pasaran China, sesuatu yang selalunya dilakukan secara berasingan.

Buat masa ini, nubia telah mengesahkan beberapa spesifikasi untuk Z60 Ultra serta reka bentuknya. Di belakang, ia menawarkan rekaan bonggol kamera yang sangat unik, dengan dua bulatan berasingan untuk tiga lensa kamera serta sebuah petak yang tertimbul.

nubia Z60 Ultra dalam warna hitam
nubia Z60 Ultra dalam warna putih Cream
nubia Z60 Ultra dalam warna biru Starry Night

Telefon ini akan ditawarkan dalam warna hitam, putih dan biru gelap serta mempunyai rating kalis air IP68. Badannya juga mempunyai rating kalis air IP68 dan nubia telah mendemonstrasikan ketahanan telefon ini dengan menenggelamkannnya bersama seorang penyelam.

Di hadapan, ia akan mempunyai skrin AMOLED berukuran 6.8 inci, manakala spesifikasi dalamannya pula terdiri daripada cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 dan bateri 6,000mAh. Kameranya pula terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera telefoto periskop 64MP.

Selain itu, telefon ini juga dikhabar akan dilengkapi pengecasan pantas 80W. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: nubia

Exit mobile version