Selepas melancarkan telefon pintar andalan nubia Z60 Ultra pada bulan Disember tahun lalu, kini nubia bakal melancarkan semula telefon tersebut dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3 yang dipertingkatkan dengan overclock. Ia akan dilancar semula pada 23 Julai 2024 di China dan dipasarkan sebagai “telefon Ultra paling berkuasa dalam pasaran.”
Cipset baharu ini digelar sebagai Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version yang mempunyai teras CPU utama Cortex-X4 pada kelajuan clock 3.4GHz dan meningkatkan kelajuan clock GPU kepada 1GHz. Ini adalah kelajuan clock tertinggi yang boleh dihasilkan oleh Snapdragon 8 Gen 3 kerana kebanyakan telefon meletakkan kelajuan 3.3GHz sahaja untuk CPU dan 0.9GHz untuk GPU.
Selain cipset baharu, nubia Z60 Ultra ini juga akan mempunyai beberapa ciri AI generatif seperti kebanyakan telefon andalan yang dilancar pada tahun ini. Untuk spesifikasi lain, nubia mengesahkan ia bakal dilengkapi bateri 6,300mAh dan rating kalis air IP68. Ia akan ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam, kelabu dan biru.
Pada awal bulan ini, nubia telah melancarkan sebuah telefon pertama dengan cipset Snapdragon 8 Gen 3 Leading Version iaitu Red Magic 9S Pro.
Untuk pasaran Malaysia pula, nubia Z60 Ultra telah dilancar di Malaysia pada bulan April lalu dengan harga RM3,799. Setakat ini masih tiada maklumat jika varian baharu ini akan ditawarkan dalam pasaran Malaysia.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

