Site icon TechNave BM

Nubia Red Magic 5G akan dilengkapi skrin 144 Hz

Dengan teknologi yang semakin canggih saban tahun, nampaknya skrin yang terdapat dalam peranti mudah alih semakin menyamai ciri-ciri monitor komputer. Beberapa telefon pintar sudah pun dilengkapi skrin yang mempunyai kadar segar semula (refresh rate) sepantas 120Hz, dua kali ganda daripada 60Hz yang biasa.

Dalam perkembangan ini, Nubia pula sudah mengesahkan bahawa Red Magic 5G akan dilengkapi skrin sepantas 144Hz, frekuensi yang sama dengan monitor gaming. CEO Nubia, Ni Fei, memuat naik sebuah tangkapan skrin di Weibo yang memaparkan pilihan tetapan kadar segar semula sebanyak 60Hz, 90Hz, 120Hz dan 144Hz.

Beliau menyatakan bahawa ujian skrin 144Hz di dalam Red Magic 5G berjaya dilaksanakan. Dalam tangkapan skrin itu, terdapat juga sebuah penyata di bahagian atas skrin untuk memaklumkan pengguna akan mod 144Hz jika ia aktif.

Tentunya mod 144Hz ini amat penting buat pengguna yang ingin memiliki telefon dengan spesifikasi terpantas, terutamanya buat mereka yang kerap bermain game secara kompetitif. Selain skrin ini, Red Magic 5G juga akan dilengkapi dengan cipset Snapdragon 865.

Adakah anda merasakan telefon pintar perlu dilengkapi skrin dengan kadar segar semula yang pantas? Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita telefon pintar terkini.

Sumber: TechNave English

Exit mobile version