Site icon TechNave BM

Olympus, Nikon, Leica tawarkan kursus fotografi dalam talian secara percuma

Sewaktu jutaan manusia berada di dalam rumah untuk membendung penularan COVID-19, ramai yang mengambil masa ini untuk belajar kemahiran baru atau memperbaiki kemahiran yang sedia ada. Jika anda ingin memperbaiki fotografi anda, beberapa syarikat kamera terkenal akan menganjurkan kelas dalam talian secara percuma.

Olympus telah melancarkan Home With Olympus Sessions bagi membantu pemilik kamera Olympus untuk mengenali alat mereka dengan lebih mendalam, di mana mereka boleh berinteraksi dengan pakar-pakar Olympus secara berduaan atau berkumpulan. Ia juga dibuka kepada mereka yang tidak memiliki kamera Olympus.

Nikon School, sebuah kursus fotografi dalam talian oleh Nikon, juga ditawarkan secara percuma sehingga 30 April. Biasanya kursus yang terdiri daripada sepuluh kelas itu berharga US$15 (RM65) hingga US$50 (RM215) bagi setiap kelas. Walaupun beberapa kelas melibatkan produk Nikon, kebanyakan kelas mengajar kemahiran yang boleh digunakan pada mana-mana kamera.

Leica pula menganjurkan sesi perbincangan dalam talian secara percuma bernama #StayHomeWithLeica bersama pakar-pakar fotografi. Sesi pertama akan diadakan pada 12 April dan setakat ini, Leica menawarkan sesi perbincangan sehingga 16 April.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menyertai mana-mana kursus di atas ini untuk memantapkan fotografi anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version