Site icon TechNave BM

One UI 8.5: Galaxy S26 Ultra bakal jadi peranti pertama dengan ciri Privacy Display

Samsung kini sedang membangunkan ciri baharu yang dipanggil Privacy Display yang direka untuk melindungi privasi pengguna tanpa memerlukan pelindung skrin khas. Melalui teknologi ini, skrin hanya jelas apabila dilihat dari depan manakala individu di sisi tidak dapat melihat kandungan paparan.

Ia ditemui dalam kod One UI 8.5 dengan keterangan: “Menghadkan keterlihatan skrin dari sudut sisi bagi melindungi privasi anda di tempat awam.” Berdasarkan sumber, Samsung merancang untuk menambah pilihan Auto Privacy yang boleh mengaktifkan fungsi ini secara automatik apabila berada di lokasi sesak seperti lif atau pengangkutan awam.

Selain itu, pengguna boleh menetapkan jadual untuk menghidupkan atau mematikan fungsi ini serta memilih aplikasi tertentu yang mahu dilindungi. Menariknya, Privacy Display boleh mengaburkan hanya sebahagian paparan seperti notifikasi atau tetingkap kecil picture-in-picture.

Ia juga boleh melindungi imej dalam galeri yang ditanda sebagai peribadi termasuk paparan skrin kunci seperti PIN, kata laluan atau corak. Satu lagi pilihan tambahan iaitu Maximum Privacy akan menurunkan tahap kecerahan skrin supaya lebih sukar dilihat oleh orang sekeliling.

Walaupun ditemui dalam One UI 8.5, ciri ini memerlukan sokongan perkakasan khas dan dijangka hadir secara eksklusif pada Galaxy S26 Ultra. Model lama tidak akan menyokongnya walaupun menerima kemas kini perisian. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version