Site icon TechNave BM

OnePlus 10T mungkin dilancar, miliki skrin AMOLED 6.7″, kamera 50MP dan bateri 4,800mAh

Pada bulan April lepas, OnePlus telah melancarkan OnePlus 10 Pro secara global dan telahpun masuk ke pasaran Malaysia. Kini, syarikat itu sedang bersiap sedia untuk membangunkan sebuah peranti seperti yang didedahkan oleh sumber yang mungkin membawa nama OnePlus 10T.

Berdasarkan imej yang didedahkan oleh Yogesh Brar, peranti itu akan menampilkan modul kamera belakang yang serupa dengan OnePlus 10 Pro. Bentuk modul kamera adalah segi empat sama dengan kedudukan flash LED yang telah dialihkan. Dikatakan juga, ia akan membawa kamera utama 50MP dengan OIS.

Kami menjangka peranti ini akan membawa nama OnePlus 10T kerana ia akan menampilkan cipset Snapdragon 8+ Gen 1 akan datang. Cipset baharu ini dikatakan 10% lebih pantas dan 30% lebih cekap bateri. Ia mungkin mempunyai paparan AMOLED 6.7 inci, kamera hadapan 32MP dan bateri 4800mAh.

Sebelum ini, kebiasaannya OnePlus akan melancarkan telefon andalannya pada awal tahun dan diikuti dengan varian T pada pertengahan tahun. Namun, OnePlus telah mengubah perancangan ini sejak pelancaran OnePlus 9 pada tahun lepas.

Seperti biasa, butiran ini hanyalah sekadar khabar angin. Kami masih menunggu maklumat rasmi daripada OnePlus mengenai peranti ini. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: TechNave

Exit mobile version