Site icon TechNave BM

OnePlus 12 mungkin akan dilancar untuk pasaran antarabangsa pada 23 Januari 2024

OnePlus telah melancarkan telefon pintar andalannya yang terbaru, OnePlus 12, di China pada awal bulan ini. Tarikh pelancaran untuk pasaran antarabangsa masih belum disahkan, namun terdapat khabar yang mengatakan bahawa ia mungkin akan dilancar seawal 23 Januari 2024.

Menurut Pengurus Negara OnePlus Benelux (Belgium, Belanda dan Luxembourg), Alexander Vanderhaeghe, beliau menyatakan OnePlus 12 akan dilancar untuk pasaran antarabangsa pada hari Selasa, 23 Januari 2024. Kenyataan tersebut dibuat dalam sebuah acara sambutan sempena ulang tahun OnePlus ke-10 di Antwerp, Belgium.

OnePlus dijangka akan melancarkan OnePlus 12 bersama OnePlus 12R iaitu varian yang lebih rendah. Sebelum ini, varian OnePlus R hanya dikhaskan untuk pasaran India namun OnePlus 12R mungkin akan dilancar untuk beberapa negara tambahan seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

Perlu diingati bahawa OnePlus masih belum mengumumkan tarikh pelancaran OnePlus 12 secara rasmi untuk pasaran antarabangsa. Telefon itu sudah pun dilancar untuk pasaran China dan ia dilengkapi spesifikasi tercanggih pada waktu ini seperti cipset Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3, bateri 5,400mAh dan pengecasan pantas 100W.

Baca artikel pelancarannya untuk maklumat lanjut mengenai OnePlus 12. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Economic Times India

Exit mobile version