Site icon TechNave BM

OnePlus Ace 6T dilancar sebagai telefon pertama dengan cip Snapdragon 8 Gen 5

OnePlus hari ini mengumumkan OnePlus Ace 6T untuk pasaran China yang sekali gus mengesahkan bahawa ia akan menjadi model asas bagi OnePlus 15R yang bakal dilancarkan untuk pasaran global. Menariknya, ia merupakan telefon pertama dilengkapi cip Snapdragon 8 Gen 5. Buat masa ini, butiran penuh mengenai prestasinya masih tidak didedahkan.

Ace 6T hadir dengan paparan OLED 6.7 inci 1.5K 165Hz lengkap dengan pengimbas cap jari ultrasonik. Bahagian belakang menempatkan kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 8MP sementara kamera hadapan 32MP digunakan untuk swafoto. Ketahanan juga menjadi salah satu fokus dengan penarafan IP68, IP69 dan IP69K bersama sistem penyejukan vapor chamber.

Ia turut dimuatkan dengan bateri 8000mAh yang menyokong pengecasan 100W. Untuk pasaran China, OnePlus memasang ColorOS 16 sebagai sistem operasi. Ace 6T ditawarkan dalam tiga warna iaitu hitam, hijau dan ungu dengan bingkai logam menggunakan proses micro-arc oxidation seperti OnePlus 15.

Varian hitam dan hijau menawarkan kemasan kaca tekstur sutera manakala varian ungu menggunakan panel belakang gentian kaca. Berdasarkan maklumat setakat ini, OnePlus 15R global akan menggunakan asas rekaan dan spesifikasi Ace 6T tetapi tidak akan menerima warna ungu. Perubahan lain mengikut pasaran masih belum diketahui.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version