Site icon TechNave BM

OnePlus akan lancarkan HydrogenOS 11 pada 10 Ogos ini

OnePlus adalah antara syarikat yang terawal untuk mengimplementasi setiap versi Android apabila versi baru dilancarkan. Sebagai contoh, OnePlus sudah pun menguji kesesuaian Android 11 sebaik sahaja Android 11 beta dilancarkan. Kini walaupun Android 11 tidak akan dilancarkan sehingga bulan September, OnePlus sudah pun menetapkan tarikh untuk melancarkan HydrogenOS 11.

Dalam sebuah kiriman di Weibo, OnePlus mengumumkan bahawa mereka akan menganjurkan sebuah acara siaran langsung pada Isnin, 10 Ogos jam 2:00 petang waktu tempatan. Dalam acara tersebut, mereka akan melancarkan HydrogenOS 11 yang menjanjikan rekaan visual baru dan fungsi-fungsi interaktif. Memandangkan OnePlus sudah pun menguji Android 11 Beta, besar kemungkinan HydrogenOS 11 akan didasarkan dengan Android 11.

Perlu diketahui bahawa HydrogenOS kebanyakannya dibuat untuk peranti dalam pasaran China manakala untuk pasaran antarabangsa pula akan dilengkapi dengan OxygenOS, di mana perbezaan yang ketara hanyalah pada ketiadaan Google Play Services dalam HydrogenOS. Antara ciri baru yang anda boleh jangkakan adalah Bubbles, Nearby Sharing, emoji baru, Recycle Bin dan banyak lagi.

Memandangkan HydrogenOS 11 akan dilancarkan minggu depan, OxygenOS 11 tentu akan dilancarkan tidak lama lagi jadi peranti OnePlus seluruh dunia mungkin akan mendapat akses kepada Android 11 sekitar bulan September. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Diterjemahkan daripada TechNave

Exit mobile version